Tuesday, January 15, 2019

ALLAH Pemberi Rezeki.

Allah SWT memiliki nama yang mulia dan dikenali sebagai Al-Asma’ Al-Husna. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Serulah nama Allah atau nama Ar-Rahman, yang mana saja kamu serukan (daripada kedua-dua nama itu adalah baik belaka) kerana Allah mempunyai banyak nama yang baik serta mulia. Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah saja satu cara yang sederhana antara itu.” (Surah al-Isra’, ayat 110)


Antara nama Allah SWT yang mesti kita beriman dengannya ialah Ar-Razzaq. Nama itu merujuk kepada Allah SWT yang banyak memberi rezeki kepada hamba-Nya.
Allah SWT menciptakan makhluk-Nya di atas muka bumi ini dan mengurniakan setiap makhluk rezeki daripada pelbagai bentuk. Allah SWT tidak sekali-kali membiarkan makhluk-Nya hidup tanpa kurniaan rezeki.
Merujuk kepada nama Ar-Razzaq, Allah SWT mengurniakan rezeki yang banyak kepada hamba-Nya sama ada manusia itu beriman ataupun sebaliknya.
Makna dan kelebihan Ar-Razzaq tidak dapat ditandingi setiap daripada makhluk-Nya. Dialah berkuasa mengurniakan rezeki kepada setiap makhluk-Nya.
Hal itu dijelaskan Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “…Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 37)
Istilah rezeki perlu difahami dalam konteks yang luas. Rezeki bukan hanya merujuk kepada wang ringgit, sebaliknya rezeki mencakupi pelbagai perkara seperti makan, minum, zuriat, pekerjaan, masa lapang, keluarga, kesihatan dan kesejahteraan.
Justeru, setiap Muslim perlu menyedari hakikat rezeki yang diterima datangnya daripada Allah SWT. Tidak ada satu bentuk rezeki yang tidak termasuk dalam kurniaan Allah SWT.
Memang benar, kita berusaha untuk mendapatkan rezeki, namun usaha itu bergantung sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada kalangan makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia kembali. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada para malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)
Kita sendiri dapat menyedari diri tidak berkuasa untuk menentukan sesuatu rezeki itu benar-benar dimiliki melainkan ia bergantung kepada ketentuan Allah SWT.
Contohnya, di tangan kita ada nasi namun atas sebab tertentu nasi itu tidak dapat dimasukkan ke dalam mulut akibat terjatuh ke tanah. Rezeki itu sudah berada dalam tangan, namun manusia tidak mempunyai kuasa mutlak mengatakan nasi itu sememangnya rezeki miliknya.
Begitulah gambaran kecil betapa setiap rezeki tertakluk sepenuhnya atas ketentuan Allah SWT. Dialah yang berkuasa memberi dan menahan sesuatu rezeki.
Allah SWT mengurniakan rezeki hatta kepada serangga kecil. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu, dan Dialah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Ankabut, ayat 60)
Menyedari hakikat itu, setiap Muslim perlu beriman, kepada Allah SWT sahajalah selayaknya kurniaan rezeki dipohon. Usah hampiri jalan syirik dengan meminta-minta daripada dukun atau bomoh agar dikurniakan rezeki.

Monday, October 29, 2018

REZEKI MENURUT WAHYU

TIP SUMBER REZEKI MENURUT WAHYU
Takwa
“Sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa pasti akan Kami limpahkan kepada mereka keberkatan daripada langit dan bumi. Namun mereka mendustakan (ayat-ayat kami) maka kami seksa mereka kerana perbuatan itu,” (al-Aaraf: 96)
Taubat
“Hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Jika kamu sedemikian, nescaya akan dikurniakan kepadamu kenikmatan yang baik dan terus-menerus sehinggalah ke suatu waktu ditetapkan. Dia juga akan memberikan kepada setiap yang mempunyai keutamaan akan habuannya masing-masing,” (Hud: 3)


Istighfar
“Maka Aku katakan kepada mereka: ‘Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Nescaya, Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyak harta dan anak-pinakmu, menyuburkan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai,” (Nuh: 10-12)
Istiqamah
“Bahawasanya jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak). Semuanya adalah untuk Kami beri ujian kepada mereka padanya (rezeki),” (al-Jin: 16-17)
Beramal dengan 
al-Quran
“Sekiranya mereka sungguh-sungguh menjalankan (hukum) Taurat dan Injil dan (al-Quran) yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhannya, nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas dan bawah kaki mereka,” (al-Maidah: 66)

Kesempatan hidup, masa dan kesihatan juga rezeki daripada-Nya. Luaskanlah sudut pandang agar jiwa tenang dan lapang. Jangan berduka jika kehilangan meskipun rezeki sudah berada di dalam tangan. Ada kalanya ujian diberikan dalam diri yang penuh kealpaan. Bersabarlah jika kita hilang sesuatu kerana Allah, namun jangan sesekali ‘hilang’ Allah kerana sesuatu.



Friday, October 26, 2018

REZEKI Khusyuk dalam solat


Khusyuk dalam solat itu rezeki. Bila khusyuk hati jadi tenang dan fokus. Selain memahami bacaan dalam solat, anda juga boleh praktiskan 13 cara yang Dr Rizal Abu Bakar, Brain Expert kongsikan ini. Sebelum itu ketahui dahulu bagaimana khusyuk ini boleh mempengaruhi otak.

Bagaimana Khusyuk Pengaruhi Otak




Solat itu tuntutan. Suruhan dari tuhan. Hadiah untuk insan.
Solat bukan sekadar rutin. Bukan juga aktiviti berdiri, rukuk dan duduk. Ia aktiviti libatkan otak.
Lebih menarik ada beza antara solat khusyuk dan tidak. Keduanya terpamer pada otak manusia.
Apabila seorang insan bersolat tanpa khusyuk, otak bahagian prefrontal cortex (PFC) masih terus aktif. Semua aktiviti dunia berlari di minda seperti tayangan movie.

Tiada tenang. Tiada damai. Tiada perkataan baginda “Arihna Ya Bilal” (rehatkan kami Wahai Bilal) bertakhta di sanubari. Manusia kekal kalut. Kekal bergelut. Gambar imbasan otak sebelah kiri cerita segalanya. Warna kuning tanda otak masih aktif.

Tiada khusyuk.

Apabila hadir solat dengan hati. Merunduk menatap bumi, bahagian PFC senyap sunyi. Bukti tuhan diingati dan dikasihi.Menarik lagi, bahagian lain pula menjadi aktif. Basal Ganglia, pusat reward atau habuan menjadi aktif. Tanda lega dan tenang bersarang di hati.

Anterior Cingulate Gyrus juga tidak terkecuali. Kesedaran emosi dan sosial berpusat di sini. Kurangkan rasa marah dan anxiety.

Rasa ragu hilang. Rasa sangsi tiada lagi beraksi.

Kajian ini dimuat dalam Journal of Physiology tahun 2015. Kajian ke atas orang yang solat. Solat sebagai rutin berbanding dengan memaknai makna ketuhanan. Kajian ini berikan makna beza. Antara khusyuk dan solat biasa. Solat dengan khusyuk beri kesan luarbiasa pada otak.
Wujud tenang, damai, kuatkan rasa bertuhan.

Saya tertanya-tanya bagaimana dengan solat saya? Solat tuan/puan pula bagaimana?

Solat Dengan Khusyuk

Apabila kita solat dengan khusyuk, aktiviti OTAK bernama Parietal Lobe menjadi kurang aktif. Fokus hanya pada yang satu. Bukan lagi terkenang kunci yang hilang atau apa yang perlu dibuat selepas ini.

Apabila OTAK masih sibuk fikir hal dunia, tandanya Parietal Lobe masih aktif. Soalnya bagaimana mahu kurang aktiviti parietal lobe supaya solat lebih kusyuk?

13 Cara Tenteramkan Parietal Lobe

Untuk tenteramkan bahagian ini perlu PRAKTIS. Setiap hari. Sama seperti orang berlatih sukan.
Tanpa latihan tiada pencapaian.

Caranya MUDAH. Perlu PRAKTIS dahulu.

1. Cari tempat yang tiada gangguan. Boleh jadi bilik tidur atau mana-mana tempat yang sesuai. Jauh dari gangguan untuk 5 minit sebagai permulaan.

2. Duduk dalam keadaan selesa. Cara duduk terpulang. Asal SELESA. Pejamkan mata atau buka bergantung pada tahap SELESA.

3. Bernafas melalui hidung. Rasakan udara yang masuk. Sejuk @ panas. Hembus nafas melalui mulut. Rasakan udara yang keluar.

4. Teruskan bernafas. Fokuskan pada bahagian dada yang turun naik apabila bernafas. Teruskan bernafas. Rasakan pergerakan itu.

5. Teruskan bernafas. Alihkan fokus pada pergerakan di perut. Turun naik perut. Rasakan.

6. Mungkin fikiran akan melayang. Biarkan. Kembalikan fokus pada rasa udara keluar masuk, 
gerakan di dada dan diperut.

7. Selepas dua minit, boleh mulakan zikir. Ambil perkataan dua suku kata. Contohnya Allah. Ini akan aktifkan Frontal Lobe.

8. PRAKTIS 5 minit dahulu. Buat untuk 12 hari. Tujuan utama untuk belajar tenteramkan PARIETAL LOBE.

9. Apabila sudah dapat rentak ini, setiap kali sebelum solat, lakukan aktiviti ini. Bernafas dan berzikir.

10. Perlu rancang waktu mahu solat. Beri lebih masa. Perlu ruang bertenang.

11. Selepas zikir dan sebelum mulakan solat bernafas dengan tenang. Berdiri dan bernafas dengan relaks.

12. Semasa solat nafas perlu dijaga. Ritma nafas perlu selari dengan bacaan. Contohnya, tarik nafas dan baca ayat. Berhenti dan tarik nafas untuk ayat berikutnya. Kaedah ini akan tenteramkan parietal lobe.

13. Fokus pada sebutan bacaan. Apabila fikiran melayang, tarik nafas, lepas. Sambung semula apabila dapat fokus kembali.

Perlu PRAKTIS. Tenang tidak bertandang tanpa diundang.
Khusyuk itu rezeki. Salah satu tanda betapa dekatnya kita dengan kiamat ialah Allah tarik nikmat khusyuk ini. Dan kiamat kecil ialah kematian kita. Apabila tiada juga khusyuk mungkin itu tanda kiamat kecil makin menghampiri kita.

Saya doakan ada manfaat dari kaedah ini apabila kita beramal. Saya doakan khusyuk itu bertandang apabila aktiviti di parietal lobe berkurang.


Wednesday, October 17, 2018

RAHSIA SEPINGGAN NASI PUTIH

Pakcik, saya mahu beli sebungkus nasi putih.” Datang satu suara entah dari mana ketika sibuk masak di dapur. Selepas mencari akhirnya ternyata suara ini milik seorang pelajar yang kelihatan agak lapar. Suami isteri yang mempunyai kantin ini hairan, tapi tetap memberikan apa yang diminta

MINTA TAMBAHAN KUAH SAHAJA
Pemilik kantin kemudian mengisi pinggan dengan nasi putih dan memberikannya kepada pelajar tu yang memintanya. Pada masa hendak buat bayaran, pelajar tu kemudian bertanya, “Maaf, boleh tak saya minta sedikit kuah. Kuah sahaja?”
Si suami pemilik kantin itu kemudian menjawab, “Boleh, tak apa-apa! Percuma sahaja buat kamu!” Setelah makan, pelajar tersebut seperti teringat yang kuah sayurnya percuma, dia kemudian meminta nasi putih lagi. Pengusaha kantin tu kemudian bertanya, “Wah lapar ya? Saya bagi kamu lebih banyak lagi. Jangan risau.” “Tidak lah pakcik, saya nak bungkus nasi putih sahaja dan mahu saya bawa pulang, biar jadi bekal masa saya pergi ke kuliah besok.” Katanya.
BAGI SEDEKAH LAUK EXTRA
Pakcik tu pun kemudian berfikir, “Hmm … Mungkin anak ini ada masalah wang, atau keluarganya ada masalah ekonomi jadi dia cuma minta nasi putih.” Dia kemudian memberikan sedikit daging cincang dan sebutir telur yang disembunyikan di bawah nasi putih. Dia kemudian membungkus semuanya dan memberikannya pada pelajar tersebut. Isteri pakcik kantin yang melihat hal ini bertanya, “Bang, saya nampak kamu mau bantu pelajar itu, kasihan juga dia cuma makan nasi putih, tapi kenapa perlu kamu sembunyikan lauknya?”
Pakcik kantin menjawab, “Sayang, dia itu pasti anak baik. Dia tidak mengemis, malahan tak minta lebih dan kuahnya pun cuma minta sedikit walaupun secara percuma. Kalau dia nampak kita kasihan kat dia bagi lauk lebih masa dia buka kotaknya, dia pasti jadi tidak sedap hati dan nanti tak berani datang ke sini lagi. Lagi pun dia itu masih belajar, kalau cuma makan nasi, nanti tak ada tenaga buat studi pelajaran.” “Abang ni memang baik sangat. Suka bantu orang yang dalam kesusahan.”
MENANGIS TIAP KALI BALIK DARI KANTIN
Balik dari kantin tersebut, ternyata pelajar tu tahu apa yang terjadi, tapi dia hanya diam, juga demi menjaga niat baik pakcik kantin yang sudah diberikan. Dia kemudian menangis di jalan, tanpa terlihat oleh pemilik kantin tersebut. Sejak hari itu, pelajar tersebut hampir setiap hari datang dan menempah nasi putih yang sama.
Dia Beli Nasi Putih Setiap Hari Sambil Menangis Di Kantin Ini. 20 Tahun Kemudian “SESUATU” Terjadi.. Tentu saja untuk bungkusan nasi yang dibawa pulang, selalu ada “rahsia” di sebalik timbunan nasi putih yang hangat itu. Hal ini terus berlangsung sampai pelajar tersebut lulus. Sejak graduasi dari universiti, suami isteri pemilik kantin itu tidak pernah lagi melihat susuk tubuhnya selama 20 tahun.
“SESUATU” BERLAKU SELEPAS 20 TAHUN
20 tahun kemudian, kantin ini mendapat amaran dari pihak berkuasa tanah mereka akan diambil dan mereka tidak lagi boleh berniaga lagi. Pasangan yang sudah cukup tua ini sedih bukan main karana dengan usia mereka yang seperti itu, mereka tidak lagi boleh mencari pekerjaan lain apapun. Tapi tidak lama kemudian, datanglah seorang lelaki dengan sut mewah masuk ke dalam kantin dan bercakap dengan pemilik kantin.
“Maaf, apakah anda pemilik kantin ini? Pengarah pejabat kami ingin bertemu dengan anda, dan meminta anda untuk bekerja di kantin pejabat kami. Soal peralatan dan bahan mentah yang diperlukan setiap hari, anda tidak perlu bimbang. Pejabat kami akan membayar semuanya dan anda hanya perlu memasak bagi kami. Di samping itu, semua keuntungan yang anda dapatkan dari jualan semuanya adalah milik anda.”
Mendengar berita ini, pemilik kantin terkejut dan bertanya, “Maaf, kalau boleh tahu, siapa pengarah anda? Kenapa orang seperti anda baik sekali pada kami?” “Pengarah kami berkata anda berdua adalah penyelamat hidupnya. Dia sangat suka daging cincang dan telur yang kalian masak. Kalau anda berdua tidak keberatan, datanglah ke pejabat kami besok pagi untuk bertemu dengan beliau.”
Ternyata pengarah yang baik hati itu adalah pelajar mahasiswa yang sudah lulus 20 tahun lalu itu. Selama 20 tahun, dia berusaha keras dan berjaya menjadi seorang pengarah daripada syarikat yang sangat besar. Kalau bukan kerana pasangan yang menolongnya, dia mungkin tidak dapat hidup sampai hari ini.
Ketika mereka bertemu dan selesai berbincang-bincang, anak muda itu kemudian membongkok dan berkata, “Pakcik, terima kasih ya. Budi pakcik makcik sampai mati saya tak lupa.”
BUDI BAIK DIBALAS BAIK
Setiap perbuatan baik pasti akan berbuahkan hal yang baik. Kita belajar dari pakcik pemilik kantin, kalau mau berbuat baik, berbuatlah baik dengan tulus dan ikhlas. Kita juga belajar dari si pelajar tadi, jangan pernah lupakan kebaikan orang lain, walaupun masa sudah berlalu bertahun-tahun!
JADI JANGAN TAKUT UNTUK BERKONGSI REZEKI

Wednesday, August 15, 2018

Rezeki, Allah yang pegang.


Minta dengan Dia dulu..
Ramai diantara kita mungkin pernah mengalami masalah kewangan atau kesuntukan duit dalam hidup.
Selain dari usaha yang bersungguh, ada beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk memudahkan kita dikurniakan rezeki.
Artikel ini bukan bertujuan untuk mengajar pembaca tentang bagaimana mendapat rezeki, tetapi sekadar perkongsian pengalaman lalu penulis yang mungkin boleh sama-sama memberi panduan manfaat.
Yang penting, kita kena yakin dengan rezeki Allah.

.
1. MENARIK REZEKI DENGAN BERSEDEKAH

Ramai yang tidak tahu bahawa amalan bersedekah mampu untuk membawa rezeki yang melimpah-ruah kepada si pemberi rezeki.
Amalan yang digalakkan oleh Islam ini bukanlah bermaksud sama sekali mengurangkan wang kita, malah menambah rezeki dan kekayaan kita.
Bersedekahlah tanpa perlu mengharapkan sebarang balasan.

Pernahkah kita didatangi oleh seorang peminta sedekah yang mengharapkan sedikit wang untuk membeli makanan? Bagaimana respons kita terhadapnya? Berapa jumlah wang yang kita berikan?
Bersedekah bukanlah memberikan sekecil-kecil wang yang kita miliki, Memberi RM0.10 contohnya untuk diberikan kepada peminta sedekah itu sambil dalam hati berkata “Tentu ada orang lain lagi yang akan memberikan wang kepada dia.“

Usah bersedekah dengan cara ini kerana ia salah.
Kerana niat kita bukanalah untuk bersedekah, sebaliknya memberi sedikit wang kepada orang tersebut.Bersedekah dengan semampu yang boleh. Fahamkah perkataan “semampu” itu.
Tidak mungkin kita hanya mampu menghulurkan hanya 10sen sahaja, kan? 
Lakukanlah sedekah dengan ikhlas. ikhlaskan dalam hati sehabis mungkin.



Jangan pula ketika memberi sedekah tetapi dalam hati kita berniat agar orang peminta sedekah itu segera beredar. Atau berasa rugi dan merungut dalam hati ketika memberikan wang itu.
Ketika menghulurkan sedekah, janganlah disusuli dengan sesuatu perkataan yang menyakitkan hati si penerima sedekah tersebut. Contohnya dengan mengatakan. “Gunakan duit ini untuk perkara baik-baik, jangan pula pergi membazir.”

Walaupun niat kita baik, tetapi dalam masa yang sama kita telah menyakiti hati si penerima tersebut. Maka membuatkan sedekah kita tadi bukan lagi berupa sedekah.. rugi bukan?

Jangan mengharapkan balasan

Kita sering kali tersilap dalam memberi sedekah dan berkata dalam hati, semoga sedekah yang dilakukan oleh aku ini akan mendapat balasan setimpal.
Sesungguhnya memberikan sesuatu tanpa mengharapkan balasan adalah lebih mulia disisi Tuhan berbanding mengharapkan balasan.

Allah menyatakan dalam firmanNya;
Orang yang menafkahkan hartanya pada malam dan siang hari secara sembunyi dan terang-terangan, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kebimbangan pada mereka dan tidak pula mereka bersedih.”
[Al-Bakarah: 274]


Memberikan sesuatu yang berguna
Pernah terlihat amalan masyarakat kita yang memberikan barangan pakaian-pakaian buruk dan lama atau buku-buku yang ingin dibuang?

Seeloknya, bersedekahlah dengan wang atau barangan yang masih baik dalam keadaan elok.
Bukannya dari barangan yang ingin dibuang. Kita hendak bersedekah, bukan menolak “sampah” kita kepada mereka yang tidak bernasib baik.

Saya pernah terbaca catatan dari Rumah Pengasih (Saiful Nang) yang menceritakan rumah kebajikan seliaannya pernah menerima sumbangan seluar dalam yang koyak rabak dan dalam keadaan menjijikkan.

Bagaimana kita boleh mengharapkan rahmat Allah kepada kita sedangkan kita membuat perbuatan seperti itu?
Buatlah si penerima berasa gembira. Walaupun kita tidak mampu bersedekah lebih, sekurang-kurangnya buatlah hati mereka merasa gembira.
Insyaallah, jauh disudut hati mereka akan mendoakan kita kembali agar mendapat kebaikan dunia dan akhirat.

2. MENARIK REZEKI DENGAN BERDOA
Selepas berusaha melakukan kerja, jangan lupa untuk berdoa. Apa sahaja tindakan yang diiringi doa, akan diperkenankan oleh Allah SWT.

Berdoa dan meminta adalah sifat semula jadi manusia. Hanya dengan doa, segala permintaan dapat didengari oleh-Nya. Insyaallah, rezeki akan tiba kepada kita cepat atau lambat sahaja.

Sebelum memulakan kerja, lakukan sedikit doa memohon keberkatan dari pekerjaan yang kita jalankan dan tanamkan niat berkerja mencari rezeki yang halal. Yang kita mahukan adalah dilimpahkan rezeki yang halal dan berkat.

Ya Allah, Ya Tuhan yang Maha kaya, wahai Tuhan yang Maha Terpuji, wahai Tuhan yang Maha Pencipta, wahai Tuhan yang Maha Mengembalikan, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang, kayakan aku dengan perkara-perkara yang dikau halalkan dan bukan daripada yang dikau haramkan, serta dengan kelebihan atau kurniaan-Mu bukan daripada mereka selain daripada -Mu.”


3. MENGAMALKAN SOLAT SUNAT DHUHA
Solat ini sering diamalkan oleh ahli perniagaan Muslim. Sehinggakan ada yang mengamalkan solat sunat ini seperti sebahagian solat wajib.
Solat Dhuha ini satu-satunya solat yang memberikan limpahan rezeki dari Allah SWT. Jika diamalkan selalu, InsyaAllah pintu rezeki akan terbuka luas.

Solat dhuha sering dikatakan magnet rezeki. Dengan melakukan solat ini, rezeki yang dipohon akan segera menjengah kita.
Dari pengalaman saya sendiri, jika diikutkan duit elaun saya (saya masih seorang pelajar) sememangnya tidak cukup untuk menampung kos hidup dan pelajaran saya. Apatah lagi untuk membuat simpanan wang.

Walaupun tidak menjadikan saya kaya, tetapi sekurang-kurangnya boleh menyara kehidupan saya sendiri tanpa menyusahkan sesiapa.

Tuesday, November 7, 2017

10 Sunnah Nabi SAW

10 Sunnah Nabi SAW Yang Mudah Dipraktikkan Sebagai Amalan Harian



Tanya pada diri, “Selama hidup ini, apakah amalan sunnah yang telah aku lakukan?”
Tahukah anda, terlalu banyak amalan sunnah yang boleh dilakukan setiap hari. Jika bukan setiap hari, mungkin boleh dilakukan seminggu sekali, sebulan sekali atau setahun sekali.
Mengapa perlunya amalan sunnah dipraktikkan dalam hidup seharian? Mungkin, ada yang bertanya. Bukankah sebagai umat Islam, rujukan dan panduan utama dalam hidup kita ini berdasarkan dua perkara, iaitu kitabullah (al-Quran) dan sunnah Nabi S.
Amalan sunnah ini adalah apa-apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad saw sama ada melalui perlakuan, perbuatan, percakapan dan ikrar Baginda. Sunnah juga bermaksud, sesiapa yang melaksanakannya beroleh pahala dan tiada dosa bagi yang meninggalkannya.
Berikut merupakan 10 amalan sunnah yang mudah dan boleh dijadikan sebagai amalan seharian kita, iaitu;
1# Sebelum Tidur
Sebelum tidur disunnahkan untuk menutup pintu, tingkap, memadamkan api dan lampu, berwuduk, bermuhasabah diri, mengibas-ngibas tempat pembaringan sebanyak 3 kali dan berbaring miring sebelah kanan.
Setelah itu, bacalah ayat Kursi, 3 qul iaitu surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas, kemudian hembuskan pada tapak tangan dan usapkan ke seluruh anggota badan. Sekiranya ketika tidur kita berasa terkejut, takut atau gelisah, disunatkan untuk membaca doa perlindungan.
2# Bangun Dari Tidur
Setelah bangun tidur, disunatkan untuk mengusap wajah dengan tangan, seperti sabda Nabi saw;
“Rasulullah bangun tidur kemudian duduk sambil mengusap wajahnya dengan tangannya.”
Hadis Riwayat Muslim
Kemudian, membaca doa;
“Alhamdulillahillazi ahyana ba’da ma amatana wa ilaihinnusyur (Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami setelah kami dimatikanNya dan kepadanNyalah kami dikembalikan).
Hadis Riwayat Bukhari
3# Masuk Dan Keluar Ke Bilik Air/Tandas
Masuk dengan kaki kiri dan membaca doa ;
“Allahumma inni a’uzubika minal khubusi wal khaba’is (Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadau dari godaan syaitan lelaki dan perempuan).”
Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim
Keluar dengan kaki kanan sambil membaca doa;
“Ghufranak (Aku memohon ampun kepadaMu).”
Hadis Riwayat An-Nasa’ie
4# Ketika Berpakaian
Disunatkan untuk membaca “Bismillah” ketika hendak memakai pakaian dan apabila ingin melepaskannya. Hakikatnya, membaca “Bismillah” ini disunatkan untuk setiap perbuatan. Memulakan bahagian sebelah kanan ketika memakai pakaian dan sebelah kiri apabila ingin menanggalkannya.
Doa memakai baju/pakaian;
“Segala puji bagi Allah yang telah memakaikan kepadaku pakaian ini dan telah memberikan rezeki pakaian ini kepadaku tanpa ada daya dan kekuatan dariku.”
Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi Dan Ibnu Majah.
5# Ketika Masuk Dan Keluar Rumah
Ketika hendak keluar dari rumah, disunatkan untuk membaca;
“Bismillahi tawakkaltu alallah, wa la haula wala quwwata illa billah (Dengan nama Allah, aku bertawakkal kepada Allah. Dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah).”
Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi.
Manakala ketika hendak masuk ke dalam rumah pula, disunatkan untuk mengucapkan bismillah, memperbanyakkan zikir kepada Allah dan mengucapkan salam sama ada rumah tersebut ada orang atau tidak.
Ini kerana syaitan akan berkongsi tempat tinggal dengan kita, apabila penghuninya tidak menyebut nama Allah ketika memasukinya.
6# Ketika Memakai Kasut/Sandal/Selipar
Rasulullah saw mengajar kepada kita untuk memulakan kaki kanan apabila hendak memakai kasut/sandal atau selipar dan apabila melepaskannya dimulakan dengan kaki kiri.
Hal ini seperti diriwayatkan dari Abu Hurairah r.anhu bahawa Rasulullah saw bersabda,
“Jika kalian memakai sandal, maka dahulukanlah kaki kanan, dan jika melepaskannya, maka dahulukanlah kaki kiri. Jika memakainya maka hendaklah memakai keduanya atau tidak memakai keduanya sama sekali.”
Hadis riwayat Bukhari Dan Muslim.
7# Ketika Makan Dan Minum
Sebelum dan selepas makan, disunatkan untuk berdoa. Apabila terlupa membaca doa sehingga makanan sudah habis dimakan, ucapkanlah,
“Dengan nama Allah pada awal dan akhirnya.”
Hadis Riwayat Abu Daud Dan At-Tirmizi.
Antara sunnah ketika makan dan minum ialah memulakan dengan menggunakan tangan kanan dan mengambil makanan yang paling hampir dengan kita. Tidak meniup makanan atau minuman, menjilat jari-jemari untuk membersihkan sisa makanan, tidak mencela makanan apabila tidak menyukainya, tidak membazir, duduk dengan sopan atau bersimpuh.
8# Mengucap Salam Dan Bersalaman
Apabila bertemu dengan sesama Muslim, disunatkan untuk kita mengucapkan salam, “Assalamualaikum atau Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”, sama ada pada orang yang kita kenal atau tidak. Kemudian, bersalam-salaman.
Hal ini seperti sabda Baginda saw;
“Keutamaan dalam Islam adalah dengan memberi makan dan mengucapkan salam pada orang yang kamu kenali atau tidak kenal.”
Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim
“Kedua orang muslim yang bertemu kemudian bersalaman, maka diampuni dosanya sebelum keduanya berpisah.”
Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi Dan Ibnu Majah.
9# Senyum
Senyum merupakan ‘sedekah’ yang paling mudah untuk dilakukan oleh setiap orang, dan Rasulullah saw adalah orang yang paling pemurah dengan senyuman yang tak lekang di wajahnya. Hal ini membuatkan orang sekeliling senang padanya.
Abdullah bin al-Harith r.anhu berkata,
“Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah SAW.”
Hadis Riwayat At-Tirmizi
10# Berzikir
Amalan berzikir juga merupakan perkara kebiasaan yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW. Bahkan, lidah Baginda tidak lekang memuji nama-nama Allah yang indah tidak mengira waktu.
Selain menggunakan lisan atau lidah, kita juga boleh berzikir melalui hati sama ada ketika berdiri, duduk atau berbaring.
Sesungguhnya, dengan berzikir akan membuatkan hati kita tenteram, seperti firman Allah swt;
“Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, maka hati menjadi tenteram.”
Ar- Ra’d : 28
Demikianlah beberapa amalan sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan boleh kita contohi serta amalkan dalam kehidupan seharian. Di samping mengikuti perlakuan Baginda, amalan sunnah juga mampu menampung segala kekurangan pada amalan wajib yang kita lakukan setiap hari.
Siapa tahu, berkat kesungguhan kita mengamalkan sunnah Rasulullah saw sepenuh jiwa dan penuh keikhlasan ini, kita akan beroleh syaafat Baginda di akhirat kelak.
Wallahua’lam.
KONGSIKAN ARTIKEL INI
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah ramai yang akan mendapat manafaat.