Tuesday, January 15, 2019

ALLAH Pemberi Rezeki.

Allah SWT memiliki nama yang mulia dan dikenali sebagai Al-Asma’ Al-Husna. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Serulah nama Allah atau nama Ar-Rahman, yang mana saja kamu serukan (daripada kedua-dua nama itu adalah baik belaka) kerana Allah mempunyai banyak nama yang baik serta mulia. Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah saja satu cara yang sederhana antara itu.” (Surah al-Isra’, ayat 110)


Antara nama Allah SWT yang mesti kita beriman dengannya ialah Ar-Razzaq. Nama itu merujuk kepada Allah SWT yang banyak memberi rezeki kepada hamba-Nya.
Allah SWT menciptakan makhluk-Nya di atas muka bumi ini dan mengurniakan setiap makhluk rezeki daripada pelbagai bentuk. Allah SWT tidak sekali-kali membiarkan makhluk-Nya hidup tanpa kurniaan rezeki.
Merujuk kepada nama Ar-Razzaq, Allah SWT mengurniakan rezeki yang banyak kepada hamba-Nya sama ada manusia itu beriman ataupun sebaliknya.
Makna dan kelebihan Ar-Razzaq tidak dapat ditandingi setiap daripada makhluk-Nya. Dialah berkuasa mengurniakan rezeki kepada setiap makhluk-Nya.
Hal itu dijelaskan Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “…Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 37)
Istilah rezeki perlu difahami dalam konteks yang luas. Rezeki bukan hanya merujuk kepada wang ringgit, sebaliknya rezeki mencakupi pelbagai perkara seperti makan, minum, zuriat, pekerjaan, masa lapang, keluarga, kesihatan dan kesejahteraan.
Justeru, setiap Muslim perlu menyedari hakikat rezeki yang diterima datangnya daripada Allah SWT. Tidak ada satu bentuk rezeki yang tidak termasuk dalam kurniaan Allah SWT.
Memang benar, kita berusaha untuk mendapatkan rezeki, namun usaha itu bergantung sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada kalangan makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia kembali. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada para malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)
Kita sendiri dapat menyedari diri tidak berkuasa untuk menentukan sesuatu rezeki itu benar-benar dimiliki melainkan ia bergantung kepada ketentuan Allah SWT.
Contohnya, di tangan kita ada nasi namun atas sebab tertentu nasi itu tidak dapat dimasukkan ke dalam mulut akibat terjatuh ke tanah. Rezeki itu sudah berada dalam tangan, namun manusia tidak mempunyai kuasa mutlak mengatakan nasi itu sememangnya rezeki miliknya.
Begitulah gambaran kecil betapa setiap rezeki tertakluk sepenuhnya atas ketentuan Allah SWT. Dialah yang berkuasa memberi dan menahan sesuatu rezeki.
Allah SWT mengurniakan rezeki hatta kepada serangga kecil. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu, dan Dialah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Ankabut, ayat 60)
Menyedari hakikat itu, setiap Muslim perlu beriman, kepada Allah SWT sahajalah selayaknya kurniaan rezeki dipohon. Usah hampiri jalan syirik dengan meminta-minta daripada dukun atau bomoh agar dikurniakan rezeki.

0 comments:

Post a Comment